Sesi pertemuan antara MDA bersama Lazada Malaysia
CYBERJAYA, 12 MEI 2026 - Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority, MDA) sekali lagi telah mengadakan sesi pertemuan bersama Lazada Malaysia pada 12 Mei 2026 bagi membincangkan pengukuhan kerjasama strategik secara berterusan dalam usaha mengawal penjualan dan pengiklanan peranti perubatan di platform e-dagang tersebut.
Antara langkah kawalan dan pemantauan yang telah dilaksanakan oleh Lazada Malaysia termasuk pelaksanaan sekatan dan tapisan terhadap penjual peranti perubatan melalui penggunaan senarai serta kata kunci peranti perubatan yang tidak dibenarkan untuk diiklankan secara dalam talian sebagaimana yang dibekalkan oleh pihak MDA. Selain itu, Lazada Malaysia turut melaksanakan sistem demerit terhadap penjual yang didapati melakukan pelanggaran perundangan hasil daripada aktiviti siasatan dan pemantauan yang dijalankan oleh MDA, melibatkan tindakan daripada demerit ringan sehingga kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
MDA dan Lazada Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama dalam pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran berkaitan keperluan perundangan peranti perubatan kepada para penjual, pembeli serta kakitangan platform tersebut. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap kefahaman dan kesedaran semua pihak berkepentingan terhadap peruntukan perundangan peranti perubatan yang berkuat kuasa, seterusnya memastikan kawalan terhadap penjualan dan pengiklanan peranti perubatan secara dalam talian dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan berkesan.
Lazada Malaysia komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam usaha memperkukuh kawalan penjualan peranti perubatan di platform mereka. MDA pula kekal komited dalam memastikan hanya peranti perubatan yang berdaftar dan mematuhi keperluan perundangan dibenarkan untuk dijual serta diiklankan secara dalam talian. Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Disediakan oleh: Encik. Akmal Rosman, Penguatkuassan
Dimuatnaik: Encik. Syamsul Akmal, BKK
Tarikh muatnaik : 22 Mei 2026